Saturday, July 19, 2014

KEMAHIRAN MEMBACA DALAM BAHASA ARAB, HURAIAN DARIPADA SEGI: TEORI, CONTOH SERTA PENGALAMAN PENGAJARAN DI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA



KEMAHIRAN MEMBACA DALAM BAHASA ARAB, HURAIAN DARIPADA SEGI: TEORI, CONTOH SERTA PENGALAMAN PENGAJARAN DI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA[*]

Ahmad Kilani bin Mohamed
Azhar bin Muhammad
Kamarul Azmi bin Jasmi

Abstrak
Artikel ini membincangkan kemahiran membaca dalam bahasa Arab meliputi mak.sud membaca (al-Qira'ah wal-Mutala'ah), realiti pembelajaran kemahiran membaca, pembahagian bacaan kepada bacaan senyap dan nyaring, objektif mengajar kemahiran membaca, kaedah pengajaran al-Qira'ah di Universiti Teknologi Malaysia serta contoh soalan dalam menguji kefahaman bacaan senyap pelajar-pelajar UTM.

PENDAHULUAN
Membaca merupakan satu proses pemikiran dan sebagai satu usaha pembaca untuk cuba memahami maksud yang cuba disampaikan oleh penulis. Ia juga sebagai satu usaha meringkaskan bahan yang dibaca, menyusunnya semula serta mendapat sebanyak mungkin faedah daripada pembacaan bahan-bahan tersebut. Membaca dapatlah diringkaskan dengan membawa maksud sebagai satu usaha untuk memperolehi pengalaman-pengalaman baru serta ilmu pengetahuan yang terkini sesuai dengan perkembangan zaman.
Terdapat pandangan yang menganggap bahavva membaca merupakan satu proses interaksi di antara pembaca dengan bahan yang dibaca. Terdapat juga pandangan yang menganggap bahawa membaca merupakan satu proses meringkaskan bahan yang sedang dibaca daripada rumus-rumus yang bertulis. Membaca dengan ini dapat dianggap sebagai usaha untuk memahami makna daripada bahan-bahan yang dibaca. Ia juga dianggap sebagai pemindahan makna daripada rumus-rumus yang bertulis dipindahkan kepada pemikiran untuk proses mendapatkan ilmu dan pengalaman-pengalaman baru.

REALITI PEMBELAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA
Terdapat salah anggapan bahawa mengajar kemahiran membaca merupakan suatu yang mudah lalu kemahiran ini diajar dengan cara mengulangi pembacaan perenggan demi perenggan dengan tujuan untuk memperbaiki kemahiran membaca. Usaha seterusnya ditumpukan hanya kepada menghuraikan maksud perkataan-perkataan yang dibaca serta perenggan-perenggan dalam bahan bacaan tersebut.
Jarang sekali usaha ditumpukan kepada membincangkan idea-idea yang terdapat dalam bahan yang dibaca dan mengulas isu-isu yang dibentangkan dalam bahan bacaan tersebut. Dr. Hasan Shahatah (1993) ada menyebut:

Membaca, seperti yang disebutkan tadi belum memenuhi maksud pengajaran kemahiran membaca seperti yang dikehendaki dalam metod pengajaran kemahiran membaca moden. Metod kemahiran membaca moden menumpukan bukan sahaja kepada keupayaan membaca perkataan-perkataan dalam bahasa Arab dengan cara yang fasih tetapi menumpukan juga kepada aspek kefahaman teks yang dibaca, membuat ulasan dan menyelesaikan masalah-masalah atau isu-isu yang diutarakan dalam bahan bacaan tersebut.

JENIS BACAAN
Jenis bacaan popular yang seringkali diajar di sekolah dan di institusi pengajian tinggi ialah bacaan senyap dan bacaan nyaring. Sebenarnya terdapat beberapa jenis bacaan iaitu seperti bacaan untuk pembelajaran, bacaan untuk keseronokan dan bacaan pantas (speed reading). Kesemua jenis bacaan tersebut memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu untuk menguasainya. Sungguhpun begitu dua kemahiran yang disebutkan di awal itu (bacaan senyap dan bacaan nyaring) merupakan tumpuan dalam perbincangan artikel ini. Dr. Mahmud Rushdi (1989) menegaskan:
OBJEKTIF MENGAJAR KEMAHIRAN MEMBACA
Sarjana dalam bidang pendidikan berbeza pendapat dalam menentukan objektif pengajaran kemahiran membaca. Mereka tidak sependapat dalam menentukan batasan yang perlu ada dalam menguasai kemahiran ini. Pengajaran kemahiran membaca seharusnya membina kemahiran di kalangan pelajar untuk memilih bahan bacaan yang berbeza menurut kecenderungan mereka sendiri. Sekiranya kemahiran itu sudah dapat dikuasai, pelajar akan memiliki kemahiran membaca dengan pantas dan dapat menguasai maklumat secara yang lebih meluas. Kemahiran ini akan dapat dikuasai melalui latih tubi, menguasai bacaan dengan fasih dan memberikan tumpuan kepada isi-isi penting dalam bahan bacaan tersebut. Kemahiran juga akan muncul melalui aktiviti penyelidikan ilmiah dan minat pelajar terhadap bahan-bahan bacaan. Menurut pakar-pakar dalam bidang pendidikan, kemahiran membaca boleh diperincikan kepada menguasai kemahiran-kemahiran seperti berikut:
(1)      Kemahiran menguasai atau memahami dengan baik bahan yang dibaca. Kemahiran ini merangkumi kemahiran menjelaskan tentang peta, jadual, statistik, gambar dan lain-lain yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut.
(2)      Kemahiran mengumpul maklumat. Ia merangkumi kemahiran daripada segi membaca dengan pantas, mengingati pengarang buku, penerbit, tempat penerbitan dan tahun bahan tersebut diterbitkan.
(3)      Kemahiran belajar. Kemahiran ini dibahagikan pula kepada dua bahagian:

i.      Kemahiran mengumpul maklumat dan mengingati isi-isi penting yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut, dapat mengungkapkan semula isi-isi tersebut serta berupaya mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengannya.
ii.    Keupayaan untuk menyusun semula maklumat yang diperolehi. Kemahiran ini
merangkumi aspek menentukan maklumat-maklumat yang penting daripada bahan bacaan, menentukan sumber maklumat, meringkaskan maklumat daripada pelbagai sumber bacaan dan meringkaskan maklumat tersebut dalam bentuk gambar dan peta minda.

KEMAHIRAN BACAAN SENYAP DAN NYARING
Kemahiran membaca secara nyaring memerlukan pembaca memberi tafsiran kepada orang lain mengenai pemikiran dan idea-idea yang terkandung dalam bahan yang sedang dibaca. Bacaan nyaring dengan ini tidak lain daripada pentafsiran secara lisan kepada bahan yang sedang dibaca dan secara umumnya kemahiran ini agak lebih susah dibandingkan dengan kemahiran bacaan secara senyap. Kemahiran ini menggunakan persediaan-persediaan yang diperlukan dalam kemahiran membaca secara senyap dengan menambah lagi kemahiran dari segi memberi tafsiran kepada bahan yang sedang dibaca kepada sidang pendengar yang sedang mendengar bahan yang sedang disampaikan.
Berbeza pula dengan kemahiran membaca secara senyap, kemahiran ini lebih kerap digunakan oleh kebanyakan orang. Adalah dianggarkan lima per enam daripada waktu yang digunakan untuk membaca ditumpukan kepada bacaan secara senyap. Bacaan senyap adalah meluas penggunaannya merangkumi membaca akhbar, jurnal dan majalah, buku akademik, buku cerita, ensiklopedia, dan juga membaca maklumat-maklumat semasa yang berkaitan dengan isu politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Ia juga merangkumi membaca untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini, penyelesaian masalah atau untuk mendapat sumber maklumat dalam bidang-bidang tertentu yang diminati.
Sementara itu, pembacaan secara nyaring adalah merangkumi membaca sesuatu petikan untuk diperdengarkan kepada orang lain atau menyampaikan pidato untuk mempengaruhi para pendengar terhadap idea-idea yang cuba disampaikan. la termasuk juga menyampaikan taklimat atau maklumat baru yang disampaikan kepada rakan-rakan dan kakitangan yang bekerja dalam jabatan yang sama. Selain itu termasuklah juga membaca puisi seperti sajak, syair dan pantun atau sesuatu jenis nyanyian yang disampaikan untuk diperdengarkan kepada khalayak ramai.

PENERAPAN ASAS-ASAS PENTING PENGAJARAN MEMBACA SECARA SENYAP OLEH PENSYARAH-PENSYARAH UTM
Asas-asas yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
(1)      Artikel-artikel terpilih diberikan kepada pelajar dengan tujuan memperkayakan pelajar dengan pengetahuan-pengetahuan baru. Dengan cara ini pelajar akan lebih berminat untuk meneroka bahan bacaan tersebut.
(2)      Bahan bacaan yang diberikan kepada pelajar dilakukan secara berperingkat daripada bahan bacaan yang mudah kepada yang sukar. Ini sangat penting, kerana ia dapat meningkatkan minat pelajar dalam proses membaca.
(3)      Dalam mengajar kemahiran membaca secara senyap, pensyarah membimbing pelajar-pelajarnya menggunakan kaedah yang betul dalam perkara ini iaitu membaca dengan hanya menggerakkan mata sahaja tanpa mengeluarkan suara atau menggerakkan bibir ketika membaca. Kaedah ini disebut oleh Walid (1991) Jabir katanya:

(4)      Pensyarah meminta pelajar-pelajarnya menggariskan perkataan-perkataan yang susah membaca bahan tersebut dengan teliti dan cuba memahaminya sebagai persediaan untuk menjawab soalan-soalan pensyarah berkaitan dengan artikel yang sedang mereka baca.
(5)      Untuk mewujudkan perbincangan dengan pelajar berkaitan dengan idea yang tersirat dalam bahan bacaan, pensyarah mengemukakan soalan-soalan disekitar bahan yang sedang dibaca oleh pelajar sebaik sahaja selesai sesi membaca yang diperuntukkan. Hal ini bertujuan untuk menguji sejauh mana kefahaman pelajar terhadap teks yang sedang mereka baca.

PENERAPAN ASAS-ASAS PENTING PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA SECARA NYARING OLEH PENSYARAH-PENSYARAH UTM
(1)      Pensyarah memperdengarkan bacaannya kepada para pelajar dengan memilih artikal-artikal untuk disampaikan kepada pelajar. Seterusnya, pensyarah memilih pelajar yang berkemanpuan untuk menceritakan semula bahan yang telah dibaca oleh pensyarah. Cerita tersebut disampaikan dalam kelas untuk diperdengarkan kepada pelajar-pelajar yang lain. Sekiranya perlu, pensyarah mengulangi bacaannya beberapa kali dan diteruskan dengan dialog bersama pelajar-palajar lain. Pensyarah juga mengajak para pelajar memberi perhatian kepada fakta-fakta penting yang diambi 1 daripada bahan yang akan disampaikan kepada mereka.
(2)      Pensyarah UTM menyedari bahawa pelajar tidak akan dapat menguasai bahan bacaan dengan baik kecuali mereka terlebih dahulu memahami artikel yang disampaikan kepada mereka. Oleh itu, pensyarah mengajak pelajar-pelajarnya membaca artikel yang diberikan secara senyap disusuli dengan sedikit perbincangan sebelum meminta pelajar mempraktiskan bacaan secara nyaring.
(3)      Bacaan nyaring dilakukan dengan memilih artikel-artikel yang baik serta mempunyai pengajaran-pengajaran yang berguna mengenai isu-isu penting dalam masyarakat. Pensyarah juga kadang-kadang memilih satu bahan cerita dengan meminta beberapa orang pelajar membacanya dengan nyaring dan disusuli seterusnya dengan perbincangan terbuka dengan pelajar-pelajar yang lain.
(4)      Menurut pandangan pensyarah UTM pembacaan secara nyaring juga penting dalam pembelajaran bahasa. Ia bertujuan memantapkan kefasihan membaca artikel-artikel dalam bahasa Arab di kalangan pelajar. Galakan membaca secara nyaring dimulakan oleh pensyarah melalui latihan tubi dimana pensyarah mengajar pel aj amy a kemahiran membaca dengan mempelbagaikan suara berdasarkan kepada situasi cerita yang terdapat dalam artikel yang sedang dibaca. Dalam sesuatu cerita terdapat situasi yang menggambarkan kegembiraan, kesedihan, keberanian, ketakutan, pengharapan dan sebagainya.
(5)      Pensyarah menerima hakikat bahawa menguasai kemahian membaca tidaklah mudah. Terdapat pelbagai faktor yang menjejasakan penguasaan kemahiran ini. Kemahiran ini akan berlaku secara berperingkat ke arah kesempurnaan. Ia sudah tentunya memerlukan latihan tubi secara berterusan. Paling penting lagi pensyarah bertindak sebagai pembimbing yang aktif dengan menunjukan cara membaca bahasa Arab yang fasih. Ia dilengkapkan lagi melalui pengunaan bahasa Arab fusha dalam komunikasi dengan pelajar-pelajarnya.

TEKNIK MENGUJI KEFAHAMAN BACAAN SENYAP
Teknik yang digunakan oleh pensyarah UTM dalam menguji kefahaman bacaan senyap adalah seperti berikut:

1.     Penyoalan Secara Terbuka
2.     Aneka Pilihan
3.     Teknik Kloz
Penyoalan Secara Terbuka
Penyoalan secara terbuka ialah teknik penyoalan kefahaman bacaan yang paling tua sekali jika dibandingkan dengan teknik yang lain. Namun demikian, teknik ini mempunyai beberapa kebaikan dari segi nilai pendidikan bahasa. Dengan menggunakan penyoalan secara terbuka, pelajar diperlukan menjawab soalan kefahaman dengan menggunakan bahasa sendiri. Ini bermaksud, selain menjawab keperluan sesuatu soalan pelajar terpaksa menggubal ayat dengan menggunakan bahasa menurut tatabahasa yang betul dan perbendaharaan kata yang tepat. Pendek kata, teknik ini menguji daya luahan pelajar dan jelas boleh menunjukkan kefahaman murid tentang kehendak soalan berhubung dengan bahan yang dibaca. Oleh sebab itu, teknik ini biasanya digunakan oleh guru bahasa dalam latihan menjawab kefahaman bacaan dan dalam ujian-ujian formal.
Dari segi nilai pendidikan bahasa, teknik ini tidak mempunyai apa-apa kelemahan. Hanya dari segi memeriksa dan memberi markah jawapan pelajar, teknik ini memakan masa yang agak lebih lama jika dibandingkan teknik yang bersifat objektif. Faktor masa ini akan dirasai oleh guru sekiranya bilangan pelajar yang diuji itu ramai. Sekiranya faktor masa tidak menjadi masalah, teknik ini dianggap cukup baik kerana ia boleh memberikan maklum balas terhadap kefahaman pelajar tentang maksud soalan kefahaman, teks yang dibaca dan kekuatan serta kelemahan daya bahasa pelajar (Juriah Long, Raminah Hj. Sabran, Sofiah Hamid, 1989).
Sekiranya teknik ini digunakan dalam peperiksaan yang besar yang melibatkan ribuan bilangan pelajar, dan ratusan bilangan pemeriksa, masalah kebolehpercayaan antara pemeriksa mungkin timbul. Ini sebenarnya adalah persoalan dari segi ketekalan pemarkahan dan pengukuran yang boleh diatasi dengan menggunakan satu skim pemarkahan yang standard.
Satu lagi kekuatan teknik penyoalan secara terbuka ialah mudah bagi pihak guru menyediakan soalan, terutama sekali dari segi membina soalan mengikut peringkat-peringkat kefahaman bacaan. Sebaik-baiknya sesuatu ujian kefahaman bacaan hendaklah mengandungi soalan yang menguji berbagai-bagai peringkat kefahaman. Akan tetapi sejauh mana soalan kefahaman dapat dibina menurut peringkat tersebut bergantung kepada beberapa faktor seperti:
1.   Tema dan kandungan keratan bacaan yang digunakan
2.     Panjang keratan
3.     Tahap Kebolehan Pelajar

Oleh kerana pertimbangan dari sudut praktis iaitu dari segi kepanjangan masa yang diperuntukkan bagi sesuatu ujian, bahan-bahan bacaan yang digunakan bagi menguji kefahaman terhad kepada beberapa perenggan. Ini sebenarnya hanya merupakan satu sampel terpilih dan terhad daripada situasi dan keperluan sebenar pelajar yang membaca dan memahami bacaan secara senyap. Dalam keperluan yang sebenarnya, pelajar biasanya membaca keseluruhan bab atau beberapa bab daripada buku teks bagi setiap mata pelajaran. Dalam sesuatu ujian formal bagi bacaan dan kefahaman, biasanya petikan karangan yang diambil hanyalah petikan-petikan pendek dalam lingkungan 200, 300 dan 400 perkataan sahaja mengikut tahap pelajar sama ada di peringkat menengah rendah, menengah tinggi atau di pusat pengajian tinggi.
Berikut merupakan contoh soalan bagi menguji kefahaman membaca di kalangan pelajar-pelajar tahun pertama, kursus Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam)
Universiti Teknologi Malaysia yang mengambil subjek al-Qira’ah wa al-Maqal dengan kod subjek (SLQ 1232) sebagaimana dalam contoh 1.
Perlu disebutkan bahawa, kesenangan teknik ini adalah semata-mata dari segi kesenangan pentadbirannya dan keobjektifannya dari segi pemarkahan dan pengukuran. Namun demikian, penubuhan item soalan dalam bentuk aneka pilihan bukanlah merupakan sesuatu yang mudah. Ini kerana, penubuhan item soalan yang baik memerlukan kemahiran teknik dan pengalaman daripada pihak guru. Ada pendapat di kalangan guru bahasa yang mengatakan bahawa teknik penyoalan dalam bentuk aneka pilihan tidak mempunyai sebarang nilai dari segi pendidikan bahasa. Ini kerana, teknik ini tidak menggunakan teknik luahan dan penggubalan bahasa daripada pelajar. Selain itu teknik tersebut juga menggaiakkan pelajar meneka dalam usaha mencari jawapan yang betul.









Contoh 1 Soalan pengujian kefahaman.



Aneka Pilihan
Soalan dan jawapan dalam bentuk aneka pilihan bagi menguji kefahaman bacaan adalah satu teknik yang agak baru jika dibandingkan dengan teknik yang lebih tradisional seperti teknik penyoalan secara terbuka.
Oleh sebab terdapat kekuatan dan kelemahan pada teknik ini, maka para guru bahasa tidak digalakkan menggunakannya selalu seperti dalam ujian kefahaman bacaan yang bercorak formatif iaitu dalam ujian bulanan tau mingguan. Bagaimanapun teknik ini boleh digunakan sekali sekala dalam ujian penggal, pertengahan tahun dan hujung tahun.
Bagi sebarang teknik yang digunakan oleh guru bagi menguji kefahaman bacaan, pemilihan petikan karangan atau keratan bacaan adalah amat penting. Pemilihan itu hendaklah menggambarkan matlamat membaca yang lebih luas dan tidak terhad kepada bacaan dalam bidang bahasa dan sastera sahaja.
Biasanya keratan bacaan yang mempunyai beberapa peristiwa, fakta, idea atau pendapat yang lain adalah dianggap sebagai bahan yang baik bagi menguji kefahaman bacaan. Panjang bahan bacaan bergantung kepada bilangan item aneka pilihan yang hendak dibina dan peringkat pelajar yang akan diuji. Biasanya petikan yang terdiri daripada 50 hingga 100 patah perkataan mungkin memadai bagi peringkat sekolah rendah, 200 hingga 300 patah perkataan bagi sekolah menengah rendah dan 400 hingga 600 bagi sekolah menengah atas. Had panjang petikan bukanlah suatu yang mutlak. Seharusnya, ia bergantung kepada peringkat kepayahan sesuatu petikan. Petikan-petikan bacaan yang agak senang difahami mungkin boleh lebih panjang sedikit daripada petikan yang agak sukar. Walaubagaimanapun, peringkat kepayahan teks hendaklah sesuai dengan peringkat pelajar yang akan diuji. Selain kesesuaian isi teks, kesesuaian bahasa dari segi struktur ayat dan perbendaharaan kata adalah pertimbangan yang amat penting dalam pemilihan petikan bacaan bagi tujuan pengujian.
Apabila sesuatu petikan bacaan yang sesuai telah dipilih oleh guru, maka guru hendaklah membacanya semula beberapa kali dan membuat kerja-kerja penyuntingan atau mengedit sekiranya perlu supaya petikan itu bebas daripada kesilapan seperti ejaan, tanda bacaan, tatabahasa dan seumpamanya. Sebaik-baiknya guru hendaklah membina item-item aneka pilihan yang lebih bilangannya daripada yang diperlukan dalam sesuatu ujian. Item tersebut juga hendaklah dibaca beberapa kali, diubah atau diedit sehingga guru puas hati dan tidak terdapat sebarang kesilapan atau kelemahan dari aspek teknik penubuhannya. Item yang lemah dan tidak boleh diperbaiki hendaklah dibuang sahaja. Hanya item yang baik dipilih dan digunakan oleh guru iaitu selepas dia membaca semula dan mengulangkaji setiap item yang dipilihnya. (Juriah Long, Raminah Hj. Sabran, Sofiah Hamid, 1989 )
Berikut merupakan contoh soalan aneka pilihan untuk pelajar tahun satu UTM sebagaimana dalam Contoh 2.

Teknik Kloz
Teknik kloz sebagai satu aiat bagi menguji kefahaman bacaan telah mula digunakan di Amenka Syankat pada tahun lima puluhan. Teknik ini yang juga dikenali sebagai prosedur kloz telah dicipta oleh Wilson Taylor dalam tahun 1953. Wilson Taylor telah menggunakan teori psikologi Gestalt dan menerapkannya dalam proses membaca iaitu jika tempat-tempat tertentu dikosongkan dalam teks bacaan, pembaca akan cuba mengisi tempat-tempat itu dengan perkataan-perkataan mengikut maksud atau kefahaman teks itu keseluruhannya.
Contoh 2 Soalan aneka pilihan

Teknik kloz memerlukan prosedur tertentu dari segi pembinaan ujian, pentadbiran dan pemarkahan, ini semua tidak sukar dilakukan dan sepatutnya boleh dilakukan oleh guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Arab. Dalam ujian kloz, murid diminta mengisi tempat kosong yang sengaja dikosongkan oleh guru dalam sesuatu keratan bacaan atau kertas ujian.
Berikut merupakan ujian kefahaman bacaan berbentuk kloz untuk pelajar tahun satu UTM sebagaimana dalam Contoh 3.

Contoh 3 Teknik Cloz

RUJUKAN
Hasan Shahatah (Dr.), 1993. Ta 'Urn al-Lughah al-'Arabiyyah Bain a al-Nazariyyah wa al-
Tatbiq. Cet. 2. al-Qahirah: al-Dar al-Misriyyah al-Lubnaniyyah.
Mahmud Rushdi Khatir (Professor), 1989. Turuq Tadris al-Lughah al-'Arabiyyah wa al-Tarbiah al-Diniyyahfi Daw' al-Ittijahat al-Turbawiyyah al-Hadithah. Cet. 4. al-Qahirah: al-Dar al-Misriyyah al-Lubnaniyyah.
Walid Jabir. 1991. Asalib Tadris al-Lughah al-'Arabiyyah. 'Amman: Dar al-Fikr Li al-Nashr wa al-Tawzi'
Ghazali Abbas ( 1993 ), Al-Nurft al-Lughah al-'Arabiyyah , Kuala Lumpur: Darul Fikr.
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran, Sofiah Hamid ( 1989), Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

BIODATA:
Ustaz Ahmad Kilani bin Mohamed, Ustaz Azhar bin Muhamad dan Ustaz Kamarul Azmi bin Jasmi adalah pensyarah di Pusat Pengajian Islam Dan Pembangunan Sosial UTM. Antara bidang yang diminati oleh ketiga orang penulis kertas kerja ini ialah bidang Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Bahasa Arab dan juga pendidikan Islam. Pada tahun 2002 Ustaz Ahmad Kilani dan bersama Ustaz Azhar bin Muhammad berkesempatan membentangkan dua kertas kerja bertajuk:

(1)      Nadwah Madrid (Sepanyol) 1959 Pemangkin Kearah Perubahan Paradigma Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab di Seminar Antarabangsa First Conference On Foreign Language Studies Multilingualisme: Key To Better International Understanding And Wide Horizon di UPM Serdang. Seminar berlangsung dari 12-13 Julai 2002.
(2)      Pengaruh Eksklusif Bahasa Arab Terhadap Sistem Fonologi Sintaksis Dan Perbendaharaan Kata Bahasa Melayu di Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di Beijing,China.Persidangan berlangsung dari 8-15 Oktober 2002.

Pada 26 Mac, 2003 ketiga-tiga penulis kertas kerja berkesempatan membentangkan kertas kerja bertajuk: "Permasalahan Pengajaran Nahu Bahasa arab Kepada Pelajar Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam), Universiti Teknologi Malaysia" di Seminar Antarabangsa Fourth International Seminar on LSP in Practice: Responding to Challenges, bertempat di Hotel Eden Garden, Johor Bahru, Malaysia, anjuran Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, UTM Skudai Johor,
Ustaz Ahmad Kilani menghasilkan dua buah buku. Buku pertama berjudul: "Teori Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama di Malaysia". Buku ini diterbitkan oleh Penerbit UTM pada tahun 2001. Buku beliau yang kedua pula berjudul: "Pengurusan Pendidikan di Sekolah: Huraian Menurut Perspektif Islam". Buku ini pula diterbitkan oleh Penerbit UTM pada Ogos 2003.

AHMAD KILANI B. MOHAMED
H/P : 012-7098576, TEL: 07-55334344 (P) Kilani6212@hotmail.com

KAMARUL AZMI B. JASMI
H/P: 012-7530529, TEL: 07-5531829(P) FAX: 075537523

AZHAR B. MUHAMMAD
H/P: 012-7623537, TEL: 07-5532191 azharmv@utm.mv
Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS) 81310, UTM Skudai, Johor Darul Takzim.


[*] Kertas kerja ini dibentangkan di Wacana Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan (Siri Ketiga) pada 16 Oktober 2003 bertempat di Hotel Alison Klana, Seremban. Wacana ini anjuran Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan